Friday, July 20, 2007

More Pictures






Assalamualaikum


Gambar lagi untuk tatapan semua..

Thursday, July 19, 2007

Laporan Penuh

Assalamualaikum semua

Maafkan saya kerana terlambat untuk mengemas kini blog ni. Maklum sajalah. Banyak benda yang ditinggalkan kat sini, nak kena update balik seperti sedia kala.

Sekarang sedang mengumpul maklumat untuk projek terbaru. Insyaallah akan lebih baik. Sementara tu, terimalah laporan penuh dari saya...

LAPORAN PENUH PENDAKIAN SOLO PENGHORMATAN EVEREST REGION 2007

TARIKH / HARI
AKTIVITI
2 Mei 2007 /Rabu
Menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH 1397 tajaan Universiti Terbuka Malaysia daripada Kota Bharu ke KLIA, Kuala Lumpur pada pukul 1650 petang. Majlis turut diserikan dengan kehadiran pelbagai lapisan belia daripada Golden Empire Club kelolaan Golden Empire Production. Penerbangan yang memakan masa selama 50 minit itu akhirnya mendarat dengan selamat di KLIA tepat jam 1745 petang. Ketibaan saya disambut oleh sanak saudara dan kaum keluarga yang tinggal di serata Kuala Lumpur untuk mengucapkan tahniah dan selamat mendaki ke Banjaran Himalaya.

3 Mei 2007 / Khamis
Menaiki penerbangan Thai Airways TG 420 tajaan Universiti Terbuka Malaysia daripada KLIA ke Suvarnabumi International Airport, Bangkok, Thailand, untuk transit sebelum meneruskan penerbangan Thai Airways TG 319 tajaan Universiti Terbuka Malaysia ke Tribhuvan Terminal International Airport, Kathmandu, Nepal. Perjalanan yang memakan masa selama lebih 6 jam ini akhirnya mendarat dengan selamat di Kathmandu pada pukul 1245 waktu Nepal. Setibanya saya di sana, beberapa proses imigresen seperti pemeriksaan passport dan pembuatan visa lawatan perlu diselesaikan sebelum meninggalkan lapangan terbang. Agak mengelirukan kerana ini adalah kali pertama saya berada di luar negara dan saya terpaksa melakukannya seorang diri. Memang mencabar. Sebaik sahaja keluar daripada lapangan terbang tersebut, saya terus disambar oleh beberapa orang yang mungkin pemandu pelancong yang mengheret saya untuk mengenal pasti sama ada nama saya ada atau tidak pada deretan papan tanda yang dipegang oelh puluhan pemuda yang menanti kedatangan tetamu masing-masing. Namun , belum sempat habis ‘tour’ saya bersama mereka, agen pendakian kali ini, Mr Furi G Sherpa, yang juga pengarah urusan Himalayan Panorama Tours (P) Ltd Nepal, datang menyelamatkan saya. Saya bernasib baik. Beliau terus menghantar saya ke sebuah rumah tumpangan bernama Newa Guest House di Thamel Street, Kathmandu, sebuah kawasan pelancongan di bandar Kathmandu. Selesai di situ, kami terus menjamah hidangan makan tengah hari di sebuah restoran makanan halal yang terletak di hadapan rumah tumpangan tersebut. Saya di benarkan untuk berehat pada masa seterusnya sehingga keesokan hari sambil menunggu ketibaan 2 orang wakil daripada Urusetia Pembangunan Belia dan Wanita, Kerajaan Negeri Kelantan, keesokan harinya.


4 Mei 2007 / Jumaat
Akhirnya Encik Aziz, Pengarah Sukan Negeri dan Encik Azman, Penasihat Kanan, Exco Urusetia Pembangunan Belia dan Wanita, Kerajaan Negeri Kelantan, tiba di Kathmandu. Mereka juga turut dijemput oleh Mr Furi daripada lapangan terbang dan terus di bawa ke tempat penginapan. Perjalanan hari tersebut dipenuhi dengan proses pembelian perlatan pendakian yang diperlukan untuk menjayakan ekspedisi kali ini. Setelah perbincangan dijalankan, maka saya terpaksa menunda jadual pendakian yang sepatutnya bermula 5 Mei 2007 kepada 6 Mei 2007 kerana peralatan yang dibeli masih belum mencukupi. Saya terpaksa akur kerana agen tersebut lebih arif tentang pendakian yang bakal dijalankan. Beliau amat membantu dalam mengenalpasti barangan yang diperlukan dan berkualiti. Pada hari ini juga saya sempat bertemu dengan salah seorang rakyat Malaysia yang pernah menjejakkan kaki ke Puncak Everest iaitu Muhammad Muqarrabin. Beliau sempat memberikan nasihat dan semangat untuk saya meneruskan pendakian. Saya juga sempat bertemu dengan salah seorang pendaki sokongan Merdeka de Everest yang terpaksa turun daripada banjaran Himalaya kerana mengalami masalah kesukaran bernafas ketika berada di ketinggian 4,410m, Beliau disyaki terkena AMS (Acute Mountain Sickness) yang jika tidak diubati dengan segera, boleh membawa maut kepada seseorang pendaki.

5 Mei 2007 / Sabtu
Kami meneruskan proses pembelian kelengkapan pendakian di sekitar Thamel Street, Kathmandu. Dan Alhamdulillah, kami dapat menyelesaikan semua pembelian barangan menjelang petang hari ini. Pada waktu lewat petang, Mr Furi membantu saya untuk mengemaskan barangan yang akan di bawa bersama semasa pendakian. Peralatan yang disiapkan menjangkau 3 buah beg besar.

6 Mei 2007 / Ahad
Penerbangan ke Lukla, berketinggian 2,804m, bermula seawal 6.30 pagi waktu Nepal. Hari ini cuaca agak baik dan penerbangan boleh diteruskan dengan lancar. Sempat bertemu buat kali terakhir dengan Encik Aziz dan Encik Azman, sebagai wakil daripada pihak penaja, sebelum pendakian dijalankan. Hati saya berdebar-debar, mampukah saya memikul tanggungjawab seberat ini. Sebagai pendaki solo, 100% tanggungjawab dan tekanan, hanya saya seorang yang terpaksa tanggung. Insyaallah akan saya jayakan misi kali ini sebaiknya. Penerbangan selama 45 minit akhirnya tiba di Lapangan Terbang Lukla yang mempunyai Landasan yang condong. Ianya agak memudahkan bagi setiap kapal terbang kecil (Jenis Fokker) untuk mendarat dan berlepas kerana landasan yang disediakan agak pendek berbanding dengan landasan biasa. Ini mungkin kerana faktor geografi dan bentuk muka bumi yang memaksa landasan tersebut di bina sedemikian rupa. Setibanya saya di sana, saya terus dijemput oleh seorang pemuda yang bernama Lopsang Sherpa, berumur 24 tahun, yang akan bertindak menjadi juru pandu arah sepanjang pendakian saya kali ini. Bersama beliau ialah 3 orang belia daripada kawasan setempat iaitu Naresh Rai, Chandra Rai dan Nir Kumar Rai. Ketiga-tiga mereka akan bertindak sebagai ‘porter’ atau pengangkut barangan bagi ekspedisi kali ini.
Selesai sarapan, kami memulakan pendakian daripada ketinggian 2,800m pada pukul 9.00 pagi. Ketinggian sebegini sebenarnya lebih tinggi daripada gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Tahan. Pemandangan amat indah. Tepat jam 11 pagi, kami makan tengahari. Suhu dan tekanan sudah menurun ke tahap yang boleh dirasakan. Namun masih tidak membimbangkan. Dalam perjalanan, kami memutuskan untuk tidak ke Phakding, sebaliknya terus ke sebuah kawasan bernama Benkar yang agak lebih tinggi sedikit daripada Phakding yang berketinggian 2,610m. Ini adalah untuk memendekkan perjalan keesokan harinya ke Namche Bazaar yang jika tidak akan mengambil masa selama 6 jam pendakian daripada Phakding.
Tiba di Benkar pada pukul 2.40 petang selepas beberapa jam mendaki. Kesejukan mula terasa dan pakaian mula bertambah. Waktu tidur amat menakutkan kerana udara yang disedut amat sejuk. Kerisauan terhadap serangan AMS membuatkan saya terpaksa berjaga-jaga dan mengenali setiap perubahan pada diri. Namun alhamdulillah, tidur dapat diteruskan dengan nyenyak dan makan dengan teratur.

7 Mei 2007 / Isnin
Pendakian diteruskan seawal jam 730 pagi melalui perkampungan kecil bernama Monjo dan Jorsale. Melihat kehidupan di perkampungan Himalaya di sini mengingatkan saya kepada kampung halaman di Malaysia yang jauh lebih baik. Namun tahap kelangsungan hidup mereka amat dipuji. Dalam keadaan serba kekurangan, mereka masih mampu untuk meneruskan hidup mereka di sini.
Setelah 4 jam mendaki, kami akhirnya tiba di Namchee Bazaar berketinggian 3,440m. Suhu dan tekanan semakin menurun kepada 15-22 darjah selsius, 673hPa. Di sini, saya terpaksa bermalam selama 2 malam untuk proses penyesuaian diri untuk mengelakkan AMS.

8 Mei 2007 / Selasa
Aktiviti hari ini adalah menjalani pendakian untuk penyesuaian diri atau ‘acclimatization process’. Pendakian dimulakan pada pukul 8.00 pagi ke ketinggian 3,850m. Alhamdulillah, tiada sebarang simptom AMS yang dirasakan pada diri saya dan saya dapat meneruskan pendakian dengan sebaik mungkin.

9 Mei 2007 / Rabu
Pendakian dimulakan untuk ke suatu tempat bernama Tengboche berketinggian 3,867m seawal jam 7.30 pagi. Kami tiba di sana tepat jam 12.30 t/hari. Lalu kami meneruskan perjalanan ke Debuche. Sambil menunggu kedatangan ‘porter’ kami berbincang dan mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di sini. Di sinilah pertama kali dalam hidup saya, melihat puncak gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest, benar-benar di depan mata. Saya hampir tidak mempercayainya namun itulah hakikat yang terpaksa saya terima. Puncak tersebut adalah puncak Everest.

10 Mei 2007/ Khamis
Pendakian diteruskan pada jam 7.30 pagi ke suatu tempat bernama Dingboche berketinggian 4,410m (lebih tinggi daripada puncak Gunung Kinabalu). Kami tiba tepat jan 11.30 pagi. Perjalanan hari ini memakan masa selama 4 jam. Awal 1 jam berbanding jadual. Di sini saya terpaksa bermalam selama 2 malam untuk sekali lagi proses penyesuaian. Trek yang dilalui agak sukar dan mencabar walaupun tidak banyak pendakian ekstrem dilakukan. Namun, perjalanan yang panjang menyebabkan para pendaki terddedah kepada suhu dan tekanan yang rendah serta pancaran sinar matahari yang membakar kulit seseorang. Dari jauh kelihatan gunung Lhotse, Lhotse Shar, Ama Dablam dan Island Peak yang bakal ditakluki.

11 Mei 2007/ Jumaat
Melakukan proses pendakian untuk penyesuaian ke tahap ketinggian 4,650m selama 2 jam setengah. Suhu sudah mencecah ke tahap 5 darjah celcius. Tekanan pula ke tahap 600hPa. Malam tadi terasa kelemasan kerana udara yang nipis. Namun, ianya alhamdulillah tidak memberikan apa-apa kesan mahupun sebarang simptom AMS terhadap diri saya.
Hari ini, pertama kali dalam hidup saya, dapat menyentuh salji yang turun dengan banyaknya di kawasan Dingboche ini.

12 Mei 2007/ Sabtu
8.30 perjalanan diputuskan untuk diteruskan alaupun salji turun agak banyak awal pagi ni. Sebelum perjalanan diteruskan, kami terpaksa menunggu sehingga salji tersebut berhenti. Kami adalah anatara orang ‘degil’ yang meneruskan perjalanan kerana pasukan lain yang ada tidak meneruskan perjalanan mereka kerana cuaca yang agak buruk. Saya bernasib baik kerana sepanjang perjalanan, cuaca menjadi semakin baik walaupun terpaksa mengharungi perjalanan pendakian yang menjerihkan dalam kedaan salji yang turun dan trek yang dipenuhi salji. Namun kepakaran pemandu arah dan porter menjadikan perjalanan pada hari ini selamat tiba di kawasan bernama Dhugla untuk makan tengah hari, sebelum meneruskan pendakian ke suatu kawasan bernama Lobuche berketinggian 4,920m. Kami tiba di Lobuche tepat jam 12 t/hari selepas melalui kawasan memorial bagi mereka yang terkorban di Gunung Everest. Muka bumi dan faktor goegrafi di kawasan ini nampaknya tidak membenarkan sebarang jenis tumbuhan untuk hidup.
Pada petang hari, saya dikejutkan dengan kehadiran 7 orang pendaki Merdeka de Everest termasuklah penasihat pendakian ini, Encik Fauzan Hassan, yang mana mereka sedang menjalani proses rehat buat kali terakhir sebelum cubaan terakhir ke puncak Everest sementara menanti keadaan cuaca berubah lebih baik. Gembiranya tidak terkata selepas dapat berjumpa dengan mereka kerana saya benar-benar keseorangan di sini. Mereka, Encik Fauzan, Dato’ Khalid, Encik Idris, Cik Marina, Encik Rafi, Encik Fakri dan Encik Ahmad Ridhuan berada dalam keadaan sihat dan amat cergas untuk melakukan pendakian ke puncak paling tinggi di dunia itu.
Kami sempat menghabiskan masa bersama dan mereka memberikan banyak nasihat dan tunjuk ajar semasa di sana. Saya amat bersyukur kerana mereka amat membantu saya.

13 Mei 2007/ Ahad
Perjalanan diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi, Gorak Shep, yang berketinggian 5,130m pada jam 8.30 pagi. Hari ini, misi pertama iaitu menakluki Gunung Kala Pattar, 5,545m akan dijayakan, insyaallah. Bentuk muka bumi yang berbatu-batu memaksa saya supaya lebih berhati-hati semasa melakukan pendakian. 10.30 pagi, saya tiba di Gorak Shep, mengambil masa untuk berehat seketika, dan meneruskan pendakian untuk menjayakan misi pertama. Tepat jam 12.00 t/hari, saya mula mendaki Gunung Kala Pattar. Semasa melakukan pendakian, saya terserempak dengan beberapa pendaki sokongan pasukan Merdeka de Everest yang secara tidak langsung memberikan saya lebih semangat untuk terus mendaki. Setelah hampir 1 jam setengah pendakian dilakukan, akhirnya saya sampai ke puncak Kala Pattar tepat jam 1.30 t/hari. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya mencapai misi pertama pendakian solo ini.

14 Mei 2007/ Isnin
Misi kedua untuk di capai hari ini, Everest Base Camp, berketinggian 5,360m. perjalanan bermula jam 8.30 pagi. Muka bumi berubah lagi dengan pasir dan batu di permukaan atas, dan ais di bahagian bawah. Pemandangan Banjaran Himalaya yang dikelilingi gunung ganang yang dilitupi ais agak menggerunkan hati kecil saya. Namun, pendakian tetap diteruskan demi untuk memenuhi misi ekspedisi kali ini. 10.30 pagi, saya tiba di Everest Base Camp, perkampungan Malaysia. Saya disambut oleh beberapa pendaki sokongan Merdeka de Everest dan mereka seakan tidak percaya yang saya melakukan pendakian ini seorang diri. Alhamdulillah, saya berjaya mencapai misi yang kedua. Pada waktu petang, 2.00 ptg, selepas makan tengaharai, dalam keadaan salji yang mula turun, saya menjalani latihan penyesuaian peralatan dan teknik pendakian dalam salji dan ais (alpine) bersama juru pandu arah saya, Mr Lopsang, selama 3 jam di sini. Alhamdulillah, saya dapat mengusainya dengan baik walaupun masih agak kekok. Beliau yakin bahawa saya akan berjaya menakluki Puncak Island nanti.
Pada waktu makan malam, sewaktu kesemua pendaki dan pendaki sokongan Merdeka de Everest selesai makan, ada sambutan untuk kedatangan saya di sana. Mereka memberikan kata-kata peransang dan nasihat yang amat berguna bagi saya untuk meneruskan pendakian.
Malam ini, tidur di atas ais, dan rekod suhu paling rendah pernah saya catatkan, -5 darjah celcius, di dalam khemah. Dan tekanan menurun ke tahap 540hPa. Masya Allah, bolehkah badan saya menyerap semua perubahan ini. Alhamdulillah, saya mampu melakukannya tanpa sebarang masalah.

15 Mei 2007/ Selasa
8.00 pagi, perjalanan diteruskan. Saya terpaksa meninggalkan perkampungan Malaysia untuk mencapai misi terakhir ekspedisi kali ini. Agak sedih kerana saya akan keseorangan lagi selepas meninggalkan mereka. Namun, demi mencapai misi saya, saya terpaksa. Mereka dengan misi mereka, dan saya dengan misi saya. Selesai sarapan, saya bergegas turun ke Gorak Shep, Lobuche, Dhugla dan akhirnya Dingboche, 4,410m. Perjalanan jauh dan panjang ini hanya berakhir jam 3.00 petang. Pendakian naik yang memakan masa 3 hari, dapat saya turuni dalam masa satu hari hari ini.

16 Mei 2007/ Rabu
10.00 pagi, selepas kemasan barangan pendakian yang diperlukan, kami meneruskan perjalanan ke Chukkhung, 4,730m. 2 jam pendakian dilakukan dan kami tiba di sana jam 10.00 pagi. Hari ini kami terpaksa melakukan pemeriksaan terakhir barangan yang perlu di bawa ke sana untuk memastikan bahawa peralatan yang di bawa adalah mencukupi kerana pendakian kali ini adalah pendakian yang paling sukar jika dibandingkan dengan kedua-dua pendakian untuk misi terawal.

17 Mei 2007/ Khamis
Selepas pemeriksaan terakhir, saya meninggalkan Chukkhung untuk ke Island Peak Base Camp, 4,970 pada jam 10.00 pagi. Kami tiba di sana jam 12.30 t/hari. Setibanya di Base Camp, saya mendapati ada 2 lagi pasukan pendaki dari Singapura dan Jerman. Saya dan Mr Lopsang sempat mendekati jalan naik yang akan dilalui keesokan harinya. Saya terus berehat untuk mengumpul tenaga kerana pendakian esok hari akan bermula pada jam 4.00 pagi setelah memutuskan bahawa kami akan melakukan pendakian yang biasanya memerlukan seseorang pendaki menghabiskan masa selama 3 hari untuk menyudahkannya, akan kami cuba dalam masa sehari sahaja. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan yang diambil. Antaranya ialah dengan melihat keadaan kesihatan dan keupayaan saya semasa menjalani pendakian, dan juga keadaan cuaca yang tidak menentu serta sering berubah tanpa memberikan sebarang amaran.
18 Mei 2007/ Jumaat
3.00 pagi, saya bangun untuk menyiapkan diri, Mr Lopsang kelihatan sedang membacakan doa dan pujian mengikut adat dan kepercayaan beliau di luar khemah saya. Selesai persiapan dan makan, kami mula melakukan pendakian di dalam kegelapan awal pagi jam 4.00. Pendakian naik ke High Camp, 5,600m di atas permukaan berbatu amat memenatkan. Suhu ekstrem yang sejuk, udara yang nipis dan keadaan muka bumi yang amat curam membuatkan saya berasa cepat penat. Namun saya dinasihatkan supaya tidak berehat terlalu kerap dan lama untuk menjaga kesihatan saya. Akhirnya, setelah 4 jam mendaki, kami tiba di High Camp yang terakhir. Perjalanan akan diteruskan ke suatu kawasan yang dipanggil Crampon Point di mana para pendaki akan mula menggunakan peralatan pendakian seperti overboot, crampon, carabiner, figure 0f 8, harness, ice axe dan snows goggle. Kami tiba di Crampon Point tepat jam 11.00 pagi. Setelah memakai perlatan yang diperlukan, kami meneruskan perjalanan bersalji untuk menakluki puncak Island. Rekahan ais yang mengerikan terpaksa kami lalui sepanjang perjalanan kami. Namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk menakluki puncak tersebut walaupun saya keseorangan di sini. Mr Lopsang selalu memberikan dorngan dan semangat untuk saya meneruskan pendakian. Setelah beberapa jam pendakian dijalankan, kami tiba di sebuah dinding ais berketinggian 150m hingga 180m, dan berkecondongan 70 hingga 80 darjah. Mampukah saya melakukannya? Jika dilihat, seakan bangunan putih 4 tingkat di hadapan saya. Keelihatan juga beberapa orang pendaki sedang menuruni dinding tersebut. Kami terpaksa menunggu giliran, dan akhirnya kami lakukan pendakian dengan teknik yang dikenali sebagai ‘Jumaring’. Setibanya saya di pertengahan pendakian, cuaca mula berubah dengan kehadiran angin kencang yang membawa bersama salji tebal. Kami di landa ribut salji.Tiada pendaki lain yang ada bersama kami ketika itu kecuali saya dan juru pandu arah, Mr Lopsang. Berkali-kali saya ajukan kepada pemandu saya bolehkah kita meneruskan pendakian? Dan beliau hanya menjawab,’YES YOU CAN’. Jadi saya tetap meneruskan pendakian sehingga sampai ke puncak dinding ais tersebut. Setibanya di sana, kelihatan dalam kesamaran ribut tersebut, banjaran (ridge) kecil yang berukuran lebar kurang daripada 2 kaki, yang akan saya lalui untuk sampai ke puncak Island. Masya Allah. Saya mengambil masa untuk makan sebentar dan mengatur kekuatan fizikal dan mental untuk mengharungi pendakian sukar dalam kedaan cuaca sedemikian rupa. Namun dengan bantuan Mr Lopsang, saya akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke puncak Island tepat jam 2.15 petang. Syukur. Selesai sesi fotografi, kami terpaksa turun kerana cuaca bertambah buruk. Saya juga turut tergelincir semasa menuruni banjaran kecil yang dilalui. Saya bernasib baik kerana sempat berpegang kepada tali yang di bekalkan. Mr Lopsang datang dan menyelamatkan saya daripada terus jatuh ke bawah. Beliau juga mengalami nasib yang sama apabila turut tergelincir pada dinding ais. Nasib menyebelahi beliau apabila saya sempat menahan badan beliau daripada terus tergelincir ke jurang ais yang lebih dalam.
Kami akhirnya tiba kembali di Crampon Point pada jam 6.00 ptg. Kami meneruskan perjalanan pulang ke Base Camp dan tiba di sana jam 8.00 malam. Waktu sudah terlalu lewat untuk kami meneruskan perjalanan ke Chhukhung. Lantas kami memutuskan untuk terus bermalam di Base Camp. Dan Ketiga-tiga misi sudahpun selesai pada malam ini…

19 Mei 2007/ Sabtu
Perjalanan turun bermula jam 8.15 pagi setelah selesai kemasan terakhir. Saya amat gembira kerana misi sudah dapat diselesaikan dengan jayanya di Himalaya. Perjalanan turun yang panjang ke Debuche akhirnya berakhir jam 4.00 petang.

20 Mei 2007/ Ahad
Perjalanan turun seterusnya ke Phakding bermula jam 8.30 pagi dan tiba di destinasi jam 6.00 ptg

21 Mei 2007/ Isnin
Phakding ke Lukhla, jam 8.00 pagi dan tiba 10.00 pagi. Rehat sementara mengesahkan penerbangan pulang ke Kathmandu.

22 Mei 2007/ Selasa
Masih terkandas di Lukhla kerana cuaca buruk tidak membenarkan sebarang aktiviti penerbangan dijalankan.

23 Mei 2007/ Rabu
Penerbangan hanya mampu dibenarkan pada sebelah t/hari hari ini. Cuaca bertambah baik dan saya berpeluang pulang ke Kathmandu pada lewat petang. Setibanya di Kathmandu, saya dijemput oleh wakil agensi, Mr Akbar dan di hantar pulang ke Newa Guest House. Pada sebelah malam, saya diraikan oleh Dato’ Ibrahim Ali yang kebetulannya berada di Kathmandu.

24 Mei 2007/ Khamis
Sempat melakukan lawatan ke sekitar Bandar Kathmandu dengan ditemani Mr Furi. Antara tempat lawatan ialah sekitar Thamel Street, Bandar Kathmandu dan Durbar Square.

25 Mei 2007/ Jumaat
Perjalanan pulang hari ini ke KLIA. Jam 11.00 pagi, saya dihantar ke Tribhuvan International Airport, Kathmandu oleh Mr Furi untuk perlepasan antarabangsa. Penerbangan Thai Airways TG0320 tajaan Universiti Terbuka Malaysia jam 1350 terus ke Suvarnabumi Airport, Bangkok untuk transit sebelum meneruskan perjalanan ke KLIA. Penerbangan Thai Airways TG0419 tajaan universiti Terbuka Malaysia jam 1945 membawa saya pulang ke KLIA, Malaysia.

26 Mei 2007/ Sabtu
Penerbangan Malaysia Airlines MH 1384 jam 0750 tajaan Universiti Terbuka Malaysia membawa saya pulang ke Kota Bharu, Kelantan dan seterusnya mengakhiri penjelajahan solo saya kali ini.