Sunday, May 20, 2007

Misi Sempurna di Himalaya




Assalamualaikum semua,
Salam dari Banjaran Himalaya, Nepal.
Maaf agak lama tidak menghantar berita, Saya sihat Alhamdulillah di bumi Nepal ni.
Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T saya pada 13 May 2007 telah berjaya melaksanakan misi pertama, mendaki ke puncak Kala Pattar, Nepal (5,545m)


Pada keesokan harinya, saya meneruskan pendakian ke Everest Base Camp untuk bersama-sama dengan 7 pendaki negara yang sekarang ini berada di Camp 4 Everest untuk melakukan pendakian terakhir menakluki puncak Everest 8848m. Kita doakan kejayaan mereka di sana.


Dan pada 18 May 2007, saya telah berjaya melaksanakan misi ketiga iaitu mendaki ke puncak Island (6160m) bersama Sherpa saya Lobsang Sherpa dalam keadaan ribut salji yang hampir meragut nyawa kami berdua. Hanya doa kalian yang masih membuatkan kami mampu bertahan sehingga ke hari ini. Pendakian yang memerlukan masa sekurang-kurangnya 3 hari bagi seseorang pendaki untuk menakluki, dapat kami sempurnakan dalam masa 12 jam,Cerita suka duka pendakian kami akan saya ceritakan bila saya tiba di Kathmandu. Yang penting sekarang, saya sihat alhamdulillah dan sedang dalam perjalanan pulang ke Kathmandu Nepal.

Ketiga-tiga misi selamat disempurnakan alhamdulillah..

Syukur
Asyran Raoef Amran

Tuesday, May 8, 2007

Acclimatization



Assalamualaikum semua

Hari ni alhamdulillah sempat lagi datang ke Cyber cafe ni. Sempat jugak saya berkongsi cerita dengan anda semua. Maklumlah, sorang-sorang kat negara orang ni agak janggal. Namun Blog ni banyak membantu, sekurang-kurangnya dapat luahkan rindu saya pada negara dan kawan-kawan.

Hari ni saya jalani 4 jam acclimatization process (proses penyesuaian) yang memerlukan seseorang pendaki mendaki ke tahap yang lebih tinggi. Sehingga 3800m, saya masih mampu bertahan dan alhamdulillah, sherpa kata dah cukup untuk penyesuaian diri. Doa kalian dan latihan betul-betul membantu.

Irman punya trip ke kinabalu April lau jugak tolong saya banyak. Saya masih boleh bertahan sehingga ke hari ni. Keep in touch man.

Helmi jangan kecik hati.

Ahli kelab GE, usaha tangga kejayaan.
Usaha + doa + tawakkal = Kejayaan Ingat ni

Untuk semua, sekiranya masih berpeluang nanti, akan saya update lagi blog ni.

Salam rindu dari saya di Namche Bazaar (3500m)

Wassalam

Asyran Raoef Amran

Monday, May 7, 2007

Nima Sherpa


Assalamualaikum semua

Selepas dua hari trekking bersama seorang sherpa muda bernama Lobsang Sherpa dan 3 orang porter yang membawa bekalan kami, saya dah dapat nama Baru. NIMA SHERPA. Nima bermaksud MATAHARI. Saya tak tahu kenapa dia bagi nama baru tu, tapi dia kata saya dah jadi macam sherpa, laju semacam je. Berkat doa kalian semua dan latihan yang dijalankan sebelum ni, saya sihat alhamdulillah walaupun suhu dan keadaan persekitaran sudah menjangkau tahap ekstrem. Suhu berukuran antara 10 darjah hingga 20 darjah celcius. Angin sejuk menambah kedinginan di ketinggian ini.

Saya dah mencapai tahap ni dan alhamdulillah saya tidak mengalami apa-apa simptom AMS. Makan pun lalu betul. Siap bulih ajar diorang masak masakan mak lagi. Syukur kepada tuhan.

Saya selalu teringat kepada mereka yang berkorban untuk menjayakan misi ni. Kawan2 pejabat yang ganti kerja saya, azizi, Nik jah, Puan Rohaya yang buatkan saya ikan bilis yang sedap tu, Boss yang luluskan cuti saya, EON Bank yang benarkan saya berkhidmat untuk mereka. Kawan2 yang banyak support, Karen banyak tolong saya.

Open University Malaysia, staff dan kak Dah, Dato' Nik dan semua yang terlibat , Jasa korang tak kan saya lupa.

Keluarga, Mama, ari ni Anniversary.. Along, nisa, sara dan nana, tunggu papa balik.

Tak lupa Kerajaan negeri kelantan, YB Fattah, En Aziz damn Encik Azman yang sampai ke Kathmandu menemani saya untuk hari-hari terakhir saya..

GE Production & GE Club, Tanpa korang semua, Dr Khairi, Dr Kharsani, Tuan Azlan, Yani, Za Yie, Che Din dan semua yang terlibat.. Saya orang biasa je..

Tak lupa kepada semua yang terlibat dalam xpdc kali ni . Maaf kalau tak sebut nama, tapi korang sentiasa dalam hati saya.

Setakat ini dulu catatan saya, akan saya cuba pula esok selepas sessi acclimatization ke Khumdung (4000 m)

Doakan saya

WAssalam


Saturday, May 5, 2007

Cabaran Himalaya Bermula


Assalamualaikum,


Setakat hari ini, alhamdulillah saya sihat walafiat, makan masih lalu seperti biasa tanpa bantuan budu atau sambal daging, dan tiada banyak perkara yang dilakukan melainkan pembelian beberapa peralatan yang bakal digunakan. Dengan bantuan dan tunjuk ajar agent, saya dapat menjalani proses pembelian dengan baik. Dengan kelengkapan yang dibeli, insyallah, saya akan berjaya dalam misi ini nanti.


Pendakian terpaksa ditangguhkan sehari memandangkan pembelian barangan yang diperlukan mengambil masa yang agak lama. Namun cabaran sebenar akan bermula esok pagi ( 6 May 2007 pukul 5.15 pagi) dengan menaiki penerbangan domestik ke Lukhla, starting point di Banjaran Himalaya.


Selama beberapa hari ini semasa tinggal di Kathmandu, sempat saya bertemu dengan beberapa orang rakyat Malaysia yang terpaksa di arah untuk turun daripada banjaran Himalaya kerana mengalami simptom AMS (Acute Mountain Sickness). Dengan mendengar nasihat dan pandangan daripada mereka, saya akan lebih bersedia demi untuk menjayakan misi ini secara solo, insyaallah.


Hari ini juga saya dapat berjumpa dengan wira negara, Mohd Muqorrabbin yang pernah menawan puncak Everest pada tahun 2004. Dengan nasihat dan tunjuk ajar daripada beliau, perkongsian pengalaman yang bermanfaat, kami berdoa agar misi kali ini akan berjaya. Beliau telah menamatkan latihannya di Everest Base Camp sempena Jelajah 7 Benua yang akan bermula Jun Nanti.


Sekian sahaja dari saya di Kathmandu Nepal, Semoga Doa kalian akan terus bersama saya sehingga kejayaan yang akan di bawa pulang., insyaallah


Salam kejauhan,


Asyran Raoef bin Amran

Thursday, May 3, 2007

3 hari di kathmandu

Assalamualaikum

Alhamdulillah dah sampai Kathmandu Nepal. Seperti yang dijangkakan, sambutan di airport lebih meriah daripada apa yang orang kelantan alami semasa turun dari bas ekspres di bandar Kota Bharu. Tak tahan nak mengelak daripada mereka. Nasib baik Mr Furi (Agent) datang selamatkan keadaan.

Tinggal di Newa Guest House untuk beberapa hari untuk persiapan terakhir, dan seterusnya ke Lukhla, starting point ke Sagamartha national Park.

Sekiranya didizin tuhan akan saya update blog ni hari2 supaya semua dapat tahu berita drpd sini. Saya sihat alhamdullilah dengan suhu berukuran 15 hingga 25 darjah celcius di Kathmandu Nepal.

Doakan saya.

Perarakan Pelepasan Pendaki Solo Everest




Majlis Perarakan Pelepasan Pendaki Solo Everest dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Golden Empire Production Dr. Wan Ahmad Kharsani bin Hj. Wan Ismail. Perlepasan pada petang ini bukan sahaja berlansung dengan gemilang sekali tetapi ianya mendapat sambutan yang amat memberansangkan oleh para belia negeri Kelantan khususnya belia dari Kelab GE Kelantan.

Permergian saudara Asyran ke Everest membawa bersama semangat Belia Kelantan, dengan semangat inilah beliau mampu untuk ke sana. Dengan sokongan dari Penganjur dan Pengurus beliau Golden Empire Production dan Kelab GE Kelantan memberi beliau semangat untuk menjayakan expedisi ini.

Saya amat terharu dengan sokongan ahli Kelab GE Kelantan serta Kakitangan Golden Empire Production yang sanggup meluangkan masa bersama-sama saya pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang hadir pada hari ini. Permergian saya pada hari ini adalah dengan membawa semangat anda semua InsyaAllah sampai ke puncak Everest dan doakan kejayaan saya”. Demikian petikan daripada Saudara Asyran Raoef bin Amran.

“Terima kasih kepada semua penaja Ekpedisi Pendakian Solo Everest. Impian anak jati Kelantan ini tidak akan jadi kenyataan sekirannya tidak mendapat penajaan dari semua pihak yang terlibat. Permergian saudara Asyran Raoef pastinya membuktikan keberanian anak muda Kelantan menyahut cabaran menawan Everest. Kami amat bangga dengan beliau”. Demikian petikan daripada Dr. Wan Ahmad Kharsani bin Hj. Wan Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif Golden Empire Production.

Disediakan Oleh :
(Tuan Nor Azlan bin Hj. Tuan Mat)
Setiausaha
Kelab GE Kelantan